Mar 18, 2012

"Hujan Itu Berasid" Kata Mereka (~)

13 Mac 2012. Pukul 5.00 petang. Waktu di mana ramai insan menjangkakan keadaan cuaca yang sepadan dengan gambar matahari tersenyum. Tapi yang hadir cuma awan komulonimbus di langit, menanggung jutaan molekul H2O di dalam genggaman, sedia untuk dihamburkan ke Bumi.

Bumi. Tanah yang gersang di satu bahagian dan menjadi tempat bertebaran makhluk bernama homo sapeins ini. Namun, cuaca petang itu membuatkan ramai manusia terbantut pelaksanaannya kerana beberapa titisan air yang turun dari langit. Kata mereka, hujan di bandar bahaya.

Berasid.

Beracun.




Maka, ramailah yang mengelak dari terkena beberapa titisan hujan tersebut. Walaupun di antara ramai-ramai manusia tersebut, masih tercelah manusia yang menerima titisan bahaya hujan itu sebagai rahmat. Masih ada yang menadah tangan mengangkat syukur kerana dikurniakan setitis air untuk membasahkan tekak-tekak kotor mereka.

Tatkala ramai berlari ke arah teduhan, masih ada yang berlari ke hujan meraikan rahmat TUHAN. Mungkin masyarakat memandang ising, gila pada mereka. Perasaan mereka? Masih gembira tak terkata sambil menadah tangan mengumpul air hujan untuk diminum. Dan mungkin di antara aliran air hujan di muka menyembunyikan jernihnya air mata gembira.

Di satu kawasan pulak, satu manusia tersepit di antara dua perasaan. Berlari atau meraikan? Walaupun dalam konsep sebenar, dia sebenarnya sedang memusingkan gear utama menggunakan kaki lalu tenaga itu disalurkan ke gear kedua seterusnya ke roda belakang dengan mekanisma rantai. Dalam bahasa mudahnya, dia sedang mengayuh basikal. Mengayuh dengan laju. Atau perlahan? Hati berkecamuk dalam menentukan keputusan sebegini mudah.




Lalu dia memejamkan mata sebentar. Sebentar cuma. Lantas membuka semula dan mula mengayuh dengan perlahan. Ya, perlahan.

Kerana dia tidak mahu mensia-siakan peluang bermandi hujan setelah 10 tahun tidak berbuat sebegitu. Sesekali dia berhenti untuk melihat benda lain yang bergerak. Sebab sudah terlalu lama dia menganggap bahawa dia sahaja yang bergerak. Terlalu lama dia menganggap bahawa dia lah manusia terpenting dalam hidup ini. Lantas dia terus mengayuh, kembali ke rumah. Mungkin sebab bajunya sudah lencun dibasahi hujan asid.


* Jangan syok sendiri sangat. Demam sudah....~

No comments:

Post a Comment