Dec 14, 2010

Soul (Part 4)

Abang Ajie menarik nafas, menghentikan kata-kata didaktiknya seketika. Keluhan berat, penuh kesal terkeluar dari mulutnya. Soul memandang Abang Ajie. Bukan sahaja suaranya, malah gaya Abang Ajie bercakap, dan keluhannya membuatkan Soul terfikir seolah-olah sudah lama dia mengenali Abang Ajie. Tetapi dia tidak mampu mengingatinya. Soul menutup majalah itu, dan serta-merta pandangan matanya hinggap ke atas kulit majalah itu. Tajuk utamanya terpampang dengan jelas; Blast temui kegagalan buat kali kedua.

Soul terkesima seketika. Pengetahuan Soul mengenai sejarah Blast dan Profesor Husni tidak boleh dipertikaikan. Otak Soul menegaskan bahawa mesin ciptaan Profesor Husni itu gagal buat kali kedua pada tahun 2014, kira-kira dua dekad yang lalu. Lebih memeranjatkan, di penghujung kulit majalah itu tertera sesuatu yang amat dasyat; Bilangan 34, Mei 2014!

Abang Ajie mengeluarkan sebuah buku lukisan dan sebatang pensel. Matanya ligat mencari sasaran. Abang Ajie mula melakar secara kasar, menjadikan rimbunan tebu di hadapannya sebagai model.

"Ayah abang tidak suka melihat abang melukis. Katanya, abang cuma membazirkan masa," Abang Ajie bersuara setelah agak lama kesepian berlabuh di antara mereka berdua.

"Abang selalu melukis di rumah jika ayah abang keluar. Tetapi, abang lebih suka melukis di sini. Nyaman dan selesa," kata Abang Ajie lagi.

Soul masih lagi berserabut, memikirkan apa yang sedang berlaku. Kata-kata Abang Ajie langsung tidak hinggap di telinganya.Sepatutnya, Ini majalah enam belas tahun yang lalu, bukannya bulan lepas seperti yang diujarkan oleh Abang Ajie sebentar tadi. Kegagalan Blast pada tahun 2014, perkara-perkara yang hidup pada dua dekad yang lalu, apakah makna semua ini? Kekusutan semakin mengisi ruang fikiran Soul.

"Err.....hari ini, 4 Jun....tahunnya?" tanya Soul, inginkan kepastian. Berkerut dahi Abang Ajie mendengar soalan Soul.

"2014. Takkanlah tahun pun tak ingat?" Abang Ajie ketawa kecil.

"2014? Aneh, sungguh aneh. Bagaimana ini boleh berlaku? Aku remaja moden 2030, bukannya 2014. Apakah yang sedang menimpaku? Mungkin Blast telah.....ah, persetankan semua itu!" bentak hati Soul.

"Abang tinggal di sini seorang diri?" Soul menyusun ayatnya dengan kemas, cuba menghilangkan kekusutan di kotak fikirannya.

"Sebenarnya, abang tinggal bersama isteri dan ibu bapa abang tengah kampung. Untuk memudahkan abang, pondok buruk ini abang dirikan beberapa bulan yang lalu. Kalau nak berehat, makan, bersolat, tak perlulah abang berulang-alik ke rumah lagi," jelas Abang Ajie sambil tersenyum.

"Solat?", ternyata perkataan itu menyentap sanubari Soul. Sudah lama dia meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Solat tidak pernah dia dirikan sejak kematian nenek, kitab suci Al-Quran sudah berhabuk tidak disentuhnya. Malah, cara-cara berwudhuk sudah lupus daripada ingatan Soul.

No comments:

Post a Comment