Dec 13, 2010

Soul (Part 3)

Soul membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Dia kaget, mendapati dirinya terlantar di atas sebuah katil yang lusuh. Kamar berdinding nipah itu diamatinya tanpa berkedip mata walau sekalipun. Tiada alat pendingin hawa, kipas juga tiada. Soul turun daripada katil dengan berhati-hati, was-was juga. Dia tidak mahu katil usang itu nanti runtuh dek keganasannya. Jam digital lengkap dengan kalendar pemberian ibunya tahun lepas ditatapnya. 4 Jun? Sepatutnya langit sekarang sudah gelap, bukannya cerah seperti sekarang. Lebih menghairankan, jam tersebut menyatakan waktu ketika itu ialah 5.35 petang. Hairan bin ajaib!

"Adik dah bangun?", sapa seorang lelaki. Soul mengamati lelaki tersebut dari hujung rambut, hinggalah ke hujung kaki. Meskipun wajahnya tidak Soul kenali, suaranya yang mesra amat biasa sekali kedengaran. Namun, Soul tidak bisa mengingati di manakah dia mendengar suara itu sebelum ini. Lelaki yang pada anggapan Soul, berusia 27 atau 28 tahun itu tersenyum memandang Soul.

"Marilah makan bersama abang," pelawa lelaki tadi. Soul hanya menganggukkan kepalanya, dan ikut bersila bersama lelaki itu di beranda pondok usang itu.

"Semua penduduk kampung di sini panggil abang, Ajie," lelaki memperkenalkan dirinya tanpa dipinta. Soul memandang Abang Ajie. Memang benar, suara itu amat dicamnya. Menyedari Abang Ajie memandangnya, Soul segera mengalihkan pandangannya ke arah yang bertentangan.

"Saya Soul," Soul bersuara akhirnya setelah hampir 10 minit masa berlalu. Abang Ayie yang pada mulanya agak terkejut, mengukir senyuman. Beberapa ketika berlalu, Soul dan Abang Ajie saling berkenalan dan bertukar cerita. Menurut Abang Ajie, Soul ditemui di tengah ladangnya dalam keadaan tidak sedarkan diri, lalu dibawa pulang ke pondok yang didirikan di pinggir ladangnya.

Soul cuba mengingati apa yang sudah berlaku. Puas dia memerah otaknya, namun dia hanya mampu mengingati kepalanya diserang sakit yang amat sangat pada saat mesin pemutar masanya mengeluarkan cahaya yang terang.

Mata Soul tertancap pada beberapa naskah majalah yang berselerak di bahagian tepi pondok buruk itu. Terdetik di hatinya, apakah kegunaan majalah-majalah ini di tengah-tengah ladang tebu yang luas ini?

"Sebagai penghilang bosan," Abang Ajie menjelaskan, seolah-olah memahami keraguan di hati Soul.

Tangan Soul mencapai salah satu daripadanya dan mula menyelak muka suratnya, sehelai demi sehelai. Soul kaget. Topik-topik yang dibincangkan amat aneh sekali. Pencemaran alam sekitar, pembuangan sisa toksik, kes rogol kanak-kanak, kes ragut yang berleluasa,apakah semua ini?

Setahu Soul, perkara-perkara seperti ini hanya wujud dua dasawarsa yang lalu. Sudah lama masalah-masalah ini lenyap seiring dengan pembangunan maju Malaysia. Ketinggalan benar majalah ini, begitu fikir Soul. Dahinya yang berkerut seribu terlihat oleh Abang Ajie.

"Itu majalah bulan lepas," Abang Ajie bersuara, merenung mata Soul.

"Bulan lepas?"

"Ya,abang betul-betul kecewa melihatkan manusia sekarang yang seolah-olah lupa akan peranan hakiki mereka sebagai insan yang dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Hasad dengki dan nafsu beraja dalam diri mereka."

~akan bersambung~

No comments:

Post a Comment