Sep 28, 2025
Phantom sweetness (~)
Sep 3, 2025
Peluang Ketiga (~)
A narcissist is just a chronic empath crushed by their own kindness. - Wing
Nah, draf 9 mukasurat pertama bab kedua(?) komik Bukan Cerita Sejarah. Kalau nak layan lagi boleh try Instagram sini.
Nampak ada yang dah dilukis tu?
Biasa la, proses belajar nak melukis-menulis-menyusun-mewarna-meng'edit' segalanya sendiri.
Aug 17, 2025
Belari Mengejar Kepala (~)
Jauh tak resah.
Dekat tak gelisah.
Bicaranya tenang.
Diamnya senang.
Walaupun
Merindukan yang belum ada.
Mencintai yang sudah tiada.
Macam mana
Hati yang ketinggalan
nak mengejar tubuh
yang laju terkehadapan
Sedangkan diri masih tak berganjak
seperti ombak yang kesepian
teragak nak memeluk pantai,
tapi masih memantulkan cahaya bulan.
*tengah layan M. Nasir, OAG, Rabbani & Pretty Ugly
Jul 20, 2025
Idea: Upahmu Sesikat Pisang Emas Setelah Dizakat (~)
Asyik terfikir....
Kalaulah 1 dinar (4.25g emas) digunakan sebagai garis pemisah B40 dan Miskin,
bermakna gaji MINIMA B40 untuk JULAI 2025 adalah....
4.25g x RM 489 = RM 2,078.
nota: PGK Malaysia 2022 = RM 2,589.
Kalau nisab zakat pendapatan untuk cari kadar miskin,
bermakna gaji MINIMA miskin untuk JULAI 2025 adalah...
2.5% x 85g x RM 489 = RM 1,039.
nota: PGK Makanan Malaysia 2022 = RM 1,189.
Kalau nak hidup selesa (mungkin tak mewah),
bermakna gaji SELESA B40 adalah....
(85g x RM 489) ATAU 20 dinar / 12 bulan = RM 3,463.
nota: Purata B40 2022 = RM 3,440.
Kalau +1 kita adalah dewasa, maka tambah setengah dinar. (RM 1,039)
Kalau +1 kita tu budak-budak, maka tambah suku dinar. (RM 519).
Maka, pendapatan isi rumah MINIMA B40 untuk JULAI 2025....
Kalau dah kahwin, ada 2 anak?
1 dinar + 0.5 dinar + 2(0.25 dinar) = RM 4,156
*************************
Jangan risau.
Ni cuma bebelan idea waktu tengah lukis pelan kondo dekat ofis.
Lebih kurang sama macam idea mendarab 'baru' waktu kelas tuisyen Bahasa Melayu Darjah 5 dulu-dulu.
Rupa-rupanya, cara sifir tu ada dalam kitab Veda
Mungkin ada betulnya, tapi tak cukup praktikal.
secara teknikal? Aku dalam golongan miskin.
Jul 2, 2025
Serba Salah (~)
Kalau makan banyak,
dikatakan ada 'benda' yang tumpang makan.
Kalau makan sikit,
dikatakan ada 'benda' yang bagi makan.
Ilmu TUHAN seluas lautan ais.
Ada orang yang sanggup menunggu setempat, menggali dalam.
Ada yang duduk selesa, tak bergerak.
Tapi ada hati nak mengata dekat orang yang meluncur ke sana ke mari, "Tengok dia tu, gila!"
Namun, mudah-mudahan yang meluncur,
Ada tujuan, bawa manfaat, dan tak membinasakan badan.
May 11, 2025
Sekian lama merisik... (~)

Berpeluh-peluh tangan.
Berdebar-debar jantung.
Bermalam-malam berjaga.
2 minggu kau ku risik.
Berbelas-belas ku bertanya pendapat.
Ada yang mengatakan,
"Pilihlah yang lain, murah sikit maharnya..."
"Pilihlah yang lain, lebih bagus kerjanya..."
"Tunggulah dulu, duit belum cukup dikumpul..."
Malam terakhir.
Aku berjaga.
Berfikir.
Timbang tara buruk baiknya.
Keesokan hari.
Helmet disarung.
Motor kutunggang.
Setelah sampai, terus aku berbincang dan bersembang.
Dan akad pun terus tertunai.
Berdebar aku menunggu di rumah.
Kedatangan yang dinanti.
Akan sampai malam nanti.
Terus kupandang yang disisi.
"Sayang...
Teman baharu ku akan tiba sebentar lagi.
Tapi, kau tetap akan terus ku.....
....hayati."
| Yang lama. |
Yang baharu! (Ada penampakan di situ...) |
Feb 20, 2025
Pakcik Kuning
*klik untuk tumbesaran*
AKHIRNYA!
Untuk manusia yang dah mula membongkok badannya ni, berjumpa jugak Pakcik Kuning yang dah ditutup auratnya ni.
Cukuplah sekadar nak jaga stamina, cukup kuat, badan melentur, nampak macho....eh?
Bak kata Encik Hinkle,
"There's nothing wrong with self improvement, but you are enough just as you are."
Tengah semangat sebab maraton Dragon Ball~
Feb 17, 2025
Batu bersurat yang berselirat.
Satu meja.
8 orang.
Aku.
5 lelaki.
2 perempuan.
Dan 4 batu belum bersurat dihadapan. (mungkin 5)
**********
"In sha Allah, kau boleh." lelaki di hadapan memujuk.
"Tapi, aku risau..."
"Risau?"
"Kalau..."
"Jangan berkalau-kalau!" desak perempuan di kiri.
"Betul. Kami dah mula menulis, kau sepatutnya ikut sama."
"Jangan cuma menguis di pasir atau melakar di awan aja."
"Batukan tulisan!"
"Batukan!"
"Dan jangan pandang lagi dua batu di sana tu!"
"Satu dah bertulis, satu lagi dah lama diratakan."
"Hm..."
"Bertenang. Pilih, dan batukan perlahan-lahan."
*************
Betapa sedihnya mendapat kata-kata motivasi dari mainan tidur sendiri.