Dec 15, 2010

Soul (Part 5:Akhir)

"Solat?", ternyata perkataan itu menyentap sanubari Soul. Sudah lama dia meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Solat tidak pernah dia dirikan sejak kematian nenek, kitab suci Al-Quran sudah berhabuk tidak disentuhnya. Malah, cara-cara berwudhuk sudah lupus daripada ingatan Soul.

"Lagipun, abang perlu bekerja keras. Isteri abang sedang mengandung sekarang. Menurut doktor, isteri abang akan melahirkan anak pada bila-bila masa sahaja. Abang ingin berikan kehidupan yang selesa kepada anak abang. Abang tidak mahu dia hidup susah nanti.." Abang Ajie meluahkan impiannya. Soul mendengar setiap butir perkataan Abang Ajie. Teliti, penuh penghayatan.

"Abang mahu anak abang nanti menjadi penganut Islam yang mulia, insan yang berguna, rakyat Malaysia yang berjasa, dan pemimpin negara yang berwibawa. Akan abang hiasi dirinya dengan sifat mahmudah, sopan-santun, menghormati orang tua, ringan tulang, inovasi yang tinggi, dan merdekakannya daripada sifat-sifat negatif. Apa sahaja yang dilakukannya adalah untuk kemajuan negara, dan untuk kejayaan di akhirat kelak. Jasanya pada negara dan dunia tidak terbilang, dan namanya dikenali seantero dunia. Abang pasti akan mendidiknya dengan penuh kasih sayang dan tegas agar dia tidak menconteng arang ke muka abang kelak."

Abang Ajie mengesat air matanya. Soul terpana. Begitu agung harapan Abang Ajie terhadap anaknya yang masih belum dilahirkan lagi. Bagaimana dengan ayahnya, Dato' Ahmad Radzi? Sudah tentu ayahnya juga menggantung impian setinggi langit, namun Soul sudah meranapkan harapan ayahnya.

Air mata Soul mula bergenang. Rasa bersalah menyelubungi jiwa remajanya. Betapa pesongnya jalan yang Soul pilih selama ini. Soul nekad, dia perlu berubah. Dia akan kembali ke dirinya yang dulu, yang sering mendapat pujian guru-guru dek kecemerlangannya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Kembali ke dirinya yang patuh dan taat pada pedadogi agama. Soul ingin kembali, kembali kepada dirinya yang asal!

Soul bingkas bangun, dan reaksinya menimbulkan tanda tanya di hati Abang Ajie. Soul menghulurkan tangan kanannya sambil tersenyum. Abang Ajie menyambut tangan Soul dengan teragak-agak.

"Terima kasih, Abang Ajie," ucap Soul. Dia mendakap Abang Ajie yang masih terpinga-pinga, erat.

"Saya perlu pulang sekarang," ujar Soul, menepuk bahu Abang Ajie. Abang Ajie hanya menganggukkan kepalanya. Soul berundur setapak, dan mula melangkah ke arah yang bertentangan. Langkahnya semakin laju, dan berlari meninggalkan Abang Ajie. Soul tidak tahu ke mana arah tujunya, tetapi gerak hatinya mengatakan, dia mengikuti jalan yang betul.

Abang Ajie memandangnya dari jauh. Seketika kemudian dia mula menapak pulang ke rumah. Biarpun dia tidak mengerti apa yang sudah berlaku, namun dia dapat merasakan bahawa sesuatu yang menakjubkan telah berlaku.

Abang Ajie terkejut melihat ibunya meluru ke arahnya sambil mengendong bayi sebaik sahaja dia tiba di rumah. "Sakinah sudah selamat bersalin", kata ibunya, perlahan.

Abang Ajie menyambut bayi lelaki berkulit cerah itu. Sesungguhnya dia amat bersyukur kepada Allah S.W.T kerana anaknya yang baru sahaja lahir, sempurna fizikalnya.

"Apa kamu nak namakan anak kamu?" suara ayahnya kedengaran. Ababang Ajie merenung mata ayahnya.

"Syamsul Anam...", pendek jawapan Abang Ajie.

*******************************

Berat benar rasanya untuk Soul membuka kelopak matanya pagi tersebut. Soul tersenyum, mendapati dirinya terbaring di hadapan Blast, mesin pemutar masa yang masih belum dimatikan. Tepat sekali tekaannya!

"5 Jun 2030!", terpacul kalimah itu daripada bibirnya, sebaik sahaja bola matanya menyoroti muka jam digital bulat yang tergantung di dinding kamar mewahnya. Kini, dia sudah mengerti akan jawapan aneh Profesor Husni. Segera Soul mengisih langkahnya, menuruni anak tangga.

"Kamu nak ke mana pagi-pagi Sabtu ni?" soal Datin Sakinah.

"Mana ayah?", Soul tidak menjawab soalan ibunya.

"Ke syarikat. Katanya ada konferensi dengan rakan kongsi," ujar ibunya, hairan.

Tangan Soul mencapai ganggang telefon di sebelahnya, pantas jarinya mendail nombor telefon syarikat ayahnya. Ingin sekali dia melafazkan azamnya untuk berubah dan menjadi anak yang soleh kepada ayahya. Azam yang qadim !

"Syarikat Ahmad Radzi and Co. di sini. Siapa di talian?" kedengaran suara telefonis yang menyahut panggilan Soul. Perkataan "Soul" hampir teluncur keluar, namun Soul terhenti seketika. Beberapa detik kemudian, bibirnya mengukir senyuman.

"Syamsul Anam namaku,".

~tamat~

Cerpen bersiri ni sebenarnya hasil nukilan:
Ultraungu,
5 Al-Biruni,
SAM Bestari 2005

Aq cuma tulis balik kat blog ni. Sebab cerita ni un selalu jugak baca masa sekolah rendah dulu, best.~

No comments:

Post a Comment