Dec 12, 2010

Soul (Part 2)

Setelah menemui beberapa kegagalan, akhirnya Profesor Husni berjaya memperkenalkan mesin yang amat mengagumkan itu.Sesungguhnya, Soul amat mengidolakan Profesor Husni. Soul pernah menonton siaran ulangan temuramah dengan Profesor Husni di skrin televisyen empat tahun yang lalu mengenai mesin ciptaannya. Menurut Profesor Husni, mesin itu sesuai digunakan oleh pelajar sekolah kerana masa yang sudah berlalu dapat diulang semula. Hal ini amat menguntungkan para pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dengan lebih lama. Apabila disoal mengenai kegunaan mutlak mesin itu, Profesor Husni hanya tersenyum dan menjawab bahawa hanya orang tertentu sahaja dapat mengetahui kegunaan mutlak mesin ciptaannya. Sehingga kini, Soul masih mencari-cari, apakah yang dimaksudkan oleh Profesor Husni.

****************************

"Tiada siapa yang sayangkan aku di rumah ini," Soul mula bermonolog sendirian sambil melabuhkan punggungnya di birai katil. Wajah nenek mula terbayang di fikiran Soul. Nenek amat menyayangi Soul. Sekiranya Soul mempunyai masalah, neneklah tempat Soul meluahkan perasaan. Namun sejak kematian nenek dua tahun yang lalu, Soul seolah-olah hilang pedoman. Ketiadaan ibu dan ayahnya selama dua bulan pada saat dia kehilangan nenek benaar-benar meragut kepercayaan Soul kepada kedua orang tuanya. Soul mula mencari hiburan dengan caranya sendiri. Rokok dan araklah yang mengisi setiap inci ruang kesepian Soul. Dia juga dikenali dengan nama 'Soul' dikalangan rakan-rakannya. Lebih rock, begitu fikir Soul.

Dahulu, sebelum nenek kembali ke rahmatullah, nenek selalu bercerita kepada Soul. Menurut nenek, ayah Soul dulu suka melukis. Tetapi arwah datuk tidak suka ayah bazirkan masa dengan melukis. Lebih baik baca buku, itu pesan arwah datuk kepada ayah. Tetapi ayah degil. Ayah tetap suka melukis. Oleh kerana takut diketahui arwah datuk, aya selalu curi-curi melukis apabila datuk tiada di rumah. Soul tersenyum sendirian mengenangkan kisah remaja ayahnya.

Daripada seorang pekebun yang gemar melukis, entah bagaimana ayahnya kini menjadi seorang pemilik syarikat perniagaan. Dato' Ahmad Radzi seorang yang berinovasi tinggi dan gigih bekerja. Pernah ayahnya dimasukkan ke dalam wad kerana mengalami kecederaan yang agak parah di bahagian mukanya. Menurut nenek,terkena bahan kimia berbahaya. Walaupun berjaya diselamatkan, ayah Soul terpaksa menjalani pembedahan plastik kerana mukanya mengalami kelecuran yang amat teruk. Peristiwa itu berlaku pada tahun 2016, di mana Soul berusia dua tahun ketika itu.

Sehingga kini, Soul tidak pernah melihat gambar ayahnya sebelum menjalani pembedahan plastik, dan dia masih terlalu kecil untuk mengingati paras ayahnya. Soul tersedar daripada lamunan, menyedari mesin pemutar masanya mengeluarkan bunyi yang agak aneh. Soul memerhati skrin mesin itu, dan tiba-tiba skrinnya memancarkan cahaya yang amat terang. Soul terpaksa menutup matanya, dan kepalanya terasa amat sakit.

~akan bersambung~

No comments:

Post a Comment