Oct 26, 2011

Hikayat Pertama (~)

sambungan dari sini....


        Duduk bersila di celah-celah rak buku, dia di dalam dunianya sendiri. Tak terdaya nak menafsirkan kegilaan berada di dunia yang lain. Seakan-akan dialah rakyat jelata, dialah rajanya. Namun, itu tafsiran orang luar. Kenali dia dengan lebih dekat, maka ketahuan juga dirinya yang sebenar. Cuma hati yang meronta ingin berbicara.

        Seluar Levi's itu ditepuk kuat. Haish! Kalau macam cengginilah gayanya, takkan pernah aku siapkan kerja ni. Diorang tu pun satu, buat aku buat kerja sendiri. Macam mana nak siap!

        Akhirnya lipatan seluar itu menjadi lipatan terakhir yang dimasukkan ke dalam almari sebelum kaki melangkah ke luar bilik. Nak join movie!

**********

        Mata coklat hazel itu merenung skrin Acer tersebut. Seolah-olah tak mahu melepaskan pandangan dari realiti. Setiap balasan jawapan dipandang dengan teliti.

tera_kora : betul ke dia cakap macam tu?
khai_24hour : betul la tu...takkan aku nak tipu kau kot.
tera_kora : dah tu, apa aku nak buat ni?
khai_24hour : terpulanglah kat kau....aku tak mau masuk campur aaa...
tera_kora : tapi....
khai_24hour : eh, nanti2 la kita chat, kay? ada orang nak guna lappy akulah.
khai_24hour : Assalamualaikum.
khai_24hour : Nightio~


khai_24hour has signed out.


        Terasa sebak di dada, air mata dah nak melimpah, empangan terasa nak pecah dek salah sendiri....


**********

        "Wei, kau tak terasa ke nak berawek-awek ni?" 

        Ah, sudah! Terkeluar pulak soalan tu dari mulut kawan aku sorang ni. Soalan sensitif tu. "Apalah kau ni. Soalan macam tu yang kau tanya aku,". 

        "Iyalah. Nanti aku tanya dah berapa ramai anak kau, aku jugak yang kena pelangkung nanti," sengih dia sampai ke telinga.

        "Tak adalah. Malaslah aku nak ada awek-awek masa ni,". Selamba pun kena jawab jugak!

        "Wei, aku bukan suruh kau ada awek-awek. Awek seorang aje, cukuplah,". Lawak bijak.

        Bantal bintang warna biru terus dicapai, head shot kena muka sahabat sejati dunia akhirat dia tu! "Amekaw! Itulah, nak gulakan aku lagi. Tak padan dengan lawaklah kau ni,". Geram jugak tengok kawan dia ni.


        "Eh, betul apa aku tanya tu. Kau tak nak ke berawek-awek ni? Takkan tak ada yang berkenan di hati kut," pancing si mulut manis.


        "Ni yang susah nak bercakap dengan kau ni. Kalau nak terus-terang, memang ada yang berkenan dekat hati ni. Sorang aja yang boleh buat aku rindu-merindu ni,".Terpaksa!


        "Siapa?"


        "Mak aku. Muahahaha!!!"




        "Kureng kau! Aku tanya betul-betul ni,". Ini boleh mendatangkan marah! Kali ni aku pulak yang nak mengamuk!


        "Haila, kau ni memang tak serik-serik kan?"


        "That's me."


        "Betul nak tahu ni?"


        "Betul".


        Nafas dihela dengan tenang. Mencari perkataan untuk disusun, agar tak salah faham jadinya. Tuan punya badan kat sebelah ni pulak dah makin gelisah aku tengok. Pandang mata macam kucing pandang Whiskas. Baik.


        "Aku cakap ni, apa yang aku rasa betul, ok? Bagi aku, perasaan nak bercinta tu ada dalam hati ni. Cuma bagi aku, masa tu belum sampai lagi," Kata-kata dari hati meluncur keluar di mulut. Memang harapan dia agar cinta hidupnya kekal begitu. Sampai masa, ianya akan datang.


        "Maksud kau?" Penjelasan perlu dilebihkan.


        "Maksud aku, biar cinta aku hanya pada isteri aku. Err, maksud aku, BAKAL isteri aku. Tak perlu rasanya bercinta sebelum nikah. Buang karan aja kau tahu?" Mata sengaja dijegilkan. Besar macam mata siput.


        Kepala cuma boleh angguk, iyakan saja kata-kata dia. Betul jugak kalau difikirkan betul-betul.


        "And, one more thing....."




*************


        Mata masih basah dengan air-hujan-mata yang tak berhenti mengalir. Tangisan kesal kerana salah sendiri.


        Tangisan kerana mengenang kebodohan sendiri.


        Tangisan kerana.....


************

tera_kora : dia cakap macam tu?
khai_24hour : iyalah, sebijik-sebijik aku taip ni, sebijik-sebijik jugaklah apa yang dia cakap.
tera_kora : macam tu.....

tera_kora has signed out.

        Terasa hati dah ditampar lembut, tetapi kesannya tersangat dalam. Baru dia sedar tentang makna cinta sebenar bagi seorang lelaki yang hampir menjadikannya lupa tentang makna cinta antara dua insan, namun lelaki itu juga yang membantu menyedarkannya kembali...

************

"Bagi aku, sebaik-baik wanita adalah wanita yang tidak memandang dan
tidak dipandang oleh yang haram baginya. Sebab, sebaik-baik perhiasan
dunia adalah wanita yang solehah. Tak ke?"
-Azmi-

Hati tak boleh nak menyangkal....

Oct 25, 2011

Adik-beradik Bergilir Ponteng Sekolah (?)


NIK NUR ALWANI (berdiri) memerhatikan adik-adiknya mengulangkaji 
pelajaran di rumah mereka di Sering, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - "Sayu hati ini bila tengok anak-anak terpaksa jaga bapa, datuk dan nenek mereka. Sedih mengenangkan pelajaran mereka yang tidak menentu tetapi apakan daya saya kerana tidak boleh berbuat apa-apa."
Begitulah rintihan pilu seorang ibu, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang terpaksa meminta lima anaknya ponteng sekolah secara bergilir-gilir demi menjaga suaminya, Zulkifli Deraman, 44, yang mengalami sakit angin ahmar serta bapa dan ibunya yang sakit tua sejak Januari lalu.
Dalam nada menahan sebak, Tengku Azizah yang kini terpaksa mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga berkata, dia berasa cukup sedih apatah lagi apabila melihat pelajaran anak-anaknya itu merosot teruk.
"Pihak sekolah ada yang sudah diberitahu ada yang tidak. Sebab ada anak yang minta saya jangan beritahu sekolah kerana mereka segan.
"Sekarang saya hanya teruskan hidup sekadar termampu, bertawakal dan berserah kepada Allah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Tok Ku, Sering di sini semalam.
Menurutnya, dia keluar bekerja menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah kilang perabot di Pasir Tumboh dengan pendapatan harian kira-kira RM18 sehari.
"Kalau dikira setiap bulan saya akan menerima pendapatan RM540 tetapi kerana kerap mengambil cuti, pendapatan yang diperoleh terlalu sedikit dan tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung kos lampin pakai buang suami yang berjumlah RM300 sebulan," katanya.
Disandarkan sebagai ketua famili yang mencari sesuap nasi untuk keluarga, Tengku Azizah keluar rumah untuk bekerja di kilang perabot seawal pukul 7.30 pagi dan pulang pada pukul 5.30 petang.
Ekoran itu, anak-anaknya, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16; Nik Muhamad Arif, 15; Nik Muhamad Afif, 13; Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, pula terpaksa tidak ke sekolah sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk menjaga bapa, datuk dan nenek mereka.
TENGKU AZIZAH memberikan ubat kepada Zulkifli sambil diperhatikan Tengku Ahmad di Sering, Kota Bharu semalam.


Semua anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal.
Tengku Azizah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Nik Muhammad Asyraf, 6, yang belajar di prasekolah.
"Suami saya diserang angin ahmar pada bahagian otak menyebabkan dia tidak sedar apa yang berlaku pada tubuhnya dan sukar untuk bertutur.
"Dia boleh terbuang air tanpa disedarinya. Saya juga jaga ibu dan bapa saya kerana mereka menjadi tanggungjawab saya memandangkan rumah yang saya duduk ini ialah rumah mereka. Saya sekeluarga hanya menumpang," ujar Tengku Azizah.
Dalam pada itu, Tengku Azizah tetap bersyukur kerana seorang anaknya, Nik Muhamad Arif berjaya juga menghadiri peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.
Kakak sulung daripada enam beradik itu, Nik Nur Alwani memberitahu, dia dan adik-adiknya terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya yang mengambil alih tugas menyara keluarga.
"Selepas bapa menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.
"Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir-gilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja," katanya.
Menurut Nik Nur Alwani, selain bapa, dia dan adik-adiknya turut menjaga kedua-dua nenek dan datuknya iaitu Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang uzur.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya (03103-29-00015739-3).

sumber : Kosmo Online