Ini ada satu ceritaaa......bukan karya asli,harap maaf ye...
Aku dan adikku yang baru balik dari London amat seronok melayan nenek.Selalu kami cungkil cerita lama dan pengalaman hidupnya.Nenek pula selalu bertanyakan pelbagai soalan kepada kami.Biasanya kami ketawa terbahak-bahak kerana soalan yang dikemukan menggelikan hati.Tetapi bagi nenek,soalan itu serius dan beliau mahukan jawapan yang pasti.
"Mana beli makanan tadi,Sani?"soal nenek pada suatu hari.
"London,"jawab adik ringkas.
"Tempat apo tu?"
"Negeri orang putih'"jelas adik
"Lain kali jangan kau bagi den lagi.Tak sedap langsung,geli tekak rasanya."
"Halal,jangan risau."Adik memberi jaminan.
"Jauh betul kau pergi.Berapa lama boleh sampai?"Nenek ingin tahu lebih lagi tentang negara yang pernah menjajah tanah airnya.
"Hampir 14 jam,"jawab adik lagi.
"Macam mana nak sembahyang?Negeri orang kafir,arak sana sini.Tengok dulu,masa mereka jadi DO,penuh arak di rumah.Carilah tempat lain,cari negeri orang Islam."Beliau memberikan pandangan dan nasihat kepada adik yang berkhidmat sebagai juruterbang.
"Orang putih pun ada yang Islam.Ramai juga bangsa lain yang beragama Islam di sana.Sembahyang tak jadi masalah."
"Itu kata kau,den risau kalau-kalau kau bercampur dengan mereka,kau pula berkelakuan macam orang putih.Kok lupa mengucap.Jaga sedikit,"sambung nenek.
Adik tersenyum sahaja.Beliau amat tahu cara nenek berfikir.Aku pun begitu juga
Aku cuba menukar topik,"Wan nak naik kapal terbang,Sani boleh bawa wan."Aku cuba menawarkan satu pengalaman yang belum pernah beliau alami.
"Ya wan,Sani boleh bawa wan,"sampuk Sani.
"Oh,itu bukan bukan kerjanya.Den tengok,terbangnya tinggi,masuk dalam awan.Entah-entah sampai langit ketujuh.Sesat nanti,langsung tak boleh balik,bukan ada jalan di langit.Takut den,terima kasih sajalah,"jawabnya dengan panjang lebar.
"Sani,sampai langit berapa dah?Ada jumpa malaikat?Kata orang dulu-dulu,malaikat tinggal atas langit,"tambah nenek sambil merenung muka adikdengan pandangan serius.
Kami ketawa terbahak-bahak.Nenek mempunyai fahaman yang jauh ketinggalan.Beliau tidak faham sebenarnya erti kemajuan teknologi.Fahamannya tentang agama Islam bercampur-aduk.Fahamannya tentang tempat tinggal malaikat membuktikannya.
"Kau dah jumpa bidadarikah yang engkau suka sangat ni?"sambung nenek dengan selamba.
"Tidak,"jawab adik sambil menyapu liur yang membasahi tangannya.
"Jangan ambil endah tak endah,terlanggar malaikat,berdosa besar kau!"tambah nenek.Jelas sekali beliau amat percaya malaikat itu tinggal di dalam awan yang disangkanya langit.
"Wan,malaikat dan bidadari tinggal di langit ke berapa?"tanyaku cuba menduga.
"Kau tak percaya ada malaikat dan bidadari?Tak Islam kau.Jangan main-main!"bentak nenek dengan serius.
"Percaya,tapi tempat tinggalnya yang saya tanyakan wan."Aku menjelaskan pendirianku.
"Di langit ketujuhlah,mana lagi?"
"Wan,kapal terbang saya tak sampai langit pertama pun.Kapal tu terbang di bawah langit.Memasuki awan tu adalah,"celah adikku,mengendurkan ketegangan nenek.
"Kalau begitu,memanglah tak boleh jumpa.Lain kali naikkan sedikit lagi."Begitu tinggi harapan nenek.Beliau amat berharap cucunya dapat berjumpa malaikat.
"Wan,orang kata malaikat suka dengan orang yang suka membaca al-Quran.Tak payahlah kita ke langit."Aku membuat saranan dengan harapan beliau bersetuju dan perbualan dapat diberhentikan di situ saja.
Jangkaan aku tidak tepat.Nenek masih tidak puas hati.Beliau meneruskan perbahasan dengan menekankan peristiwa malaikat pernah turun dari langit untuk mendengar seorang sahabat membaca al-Quran.Beliau juga menyatakan semasa Perang Badar,malaikat turut membantu Nabi Muhammad s.a.w.
"Kau jangan senda guraukan.Percaya adanya malaikat adalah pokok kepada iman.Yang den takut dulu hampir terjadi.Hidup ikut orang putih,makan,berfikir,dan pakaian pun macam orang putih,lama-lama agama pun..."Nenek berhenti.Jelas beliau gundah-gulana.Dan sebelum beliau menyambung,aku lekas-lekas memotong cakapnya.
"Wan,kalau perempuan orang putih,beragama Islam,kahwin pun boleh kan?"
"Bagi kau orang,semua yang berkaitan dengan orang putih itu,semuanya baik dan sempurna.Dulu aku nasihatkan ayah kau hantar kau ke negeri Arab.Terjamin hidup dunia akhirat.Ini tidak,dihantar ke England,dunia dapat,akhirat entahlah.esok,bela pula anjing dalam rumah.Oh
,sia palih!"Nenek merungut dan mengeluh.baginya anaknya telah silap menghantar cucu-cucunya belajar di England.Pada fahaman beliau cucu-cucunya bukan lagi anak-anak Muslim yang baik.
"Wan salah faham tentang orang putih dan malaikat."Aku cuba memberi penjelasan.
"Hei,bapak kau belum lahir,den dah kenal sangat orang putih.Kerja lain tak ada,joget dan mabuk.Memnya pun serupa saja.Laki bini mabuk.Kalau merokok pula,bertin-tin.Oh,minta dijauhkan bermenantukan anak mereka!"
Nenek memberi syarahan yang jitu akan pengalamannya.Ketara sungguh sikapnya yang membenci bangsa penjajah tanah airnya.
"Wan,ada orang putih yang baik.Ada yang beragama Islam.Mereka juga dilawati malaikat.Kalau tidak,macam mana malaikat hendak tulis rekod mereka."Aku cuba membetulkan salah anggapan nenek.
"Makanan mereka pun ada yang halal.Ayam dan daging disembelih cara Islam.Kedai makan Islam pun ada,"tokok adik.
Nenek terdiam.Digobeknya sirih perlahan-lahan.Mungkin beliau memikirkan yang cucu-cucunya ini juga anak-anak Islam yang baik,walaupun tidak belajar di negeri Arab.
"Kalau begitu,malaikat juga ada di London."Dengan tiba-tiba beliau memecah kesunyian.
"Malaikat ada di mana-mana,wan."Belum sempat aku menjawab,adik telah menyambut kata-kata nenek.
"Den ni sudah tua,tak kanlah sampai menongkat langit.Yang amat den harapkan daripada kamu semua ialah doa kau untuk den.Itulah yang dijamin tidak putus dan itulah rezeki den di alam barzakh nanti.Kalau kau kata,malaikat ada di mana-mana,hidup kembali harapan den."
"Jangan risau,semua orang akan mati.Bukan semestinya wan tak ada lagi,kami terus lupakan wan.Kami juga mengharapkan doa-doa keturunan kami pula.Insya-Allah,kita sebagai orang Islam akan didoakan juga oleh malaikat-malaikat,bukan begitu wan?"
Kata-kataku itu menggembirakan nenek.